Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, bakal berdepan ujian getir dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 selepas sembilan lagi pemain terbaik dunia mengesahkan penyertaan mereka.

Perkembangan itu disahkan Pengurus Besar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, menjelang aksi yang bakal membuka tirai pada 26 Jun ini sambil Chong Wei semestinya berhasrat untuk meneruskan pemburuan gelaran ke-12 di pentas Terbuka Malaysia.

Selain pemain dalam kelompok 10 terbaik, termasuk Chen Long dan Lin Dan serta pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, Chong Wei juga perlu berwaspada dengan bintang Jepun, Kento Momota, yang berada di prestasi terbaik sejak kembali daripada penggantungan, setahun lalu.

"Peminat badminton di Malaysia sudah pasti mahu melihat wira-wira negara negara bertanding di tempat sendiri, jadi diharapkan pemain-pemain kebangsaan dapat menampilkan aksi terbaik dalam saingan kali ini," kata Michelle.

BAM turut memastikan jadual untuk saingan edisi kali ini lebih mesra peminat memandangkan Piala Dunia Russia berlangsung dalam tempoh kejohanan itu.

"Kami berharap semua peminat dapat datang ke stadium. Kalau dilihat daripada segi waktu, ia telah diubah. Dalam dua hari pertama, ia dimulakan sedikit lewat, jadi buat sesiapa yang bekerja masih dapat hadir untuk menyaksikan perlawanan.

"Bukan mudah untuk melihat aksi pemain daripada kelompok 10 terbaik dunia berentap di Malaysia. Jadi, kami menyeru semua peminat agar datang dan memenuhi stadium."