Terima kasih Malaysia -- Chong Wei 

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 339
Terima kasih Malaysia -- Chong Wei 
Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan daripada dunia badminton kompetitif yang menjadi sebahagian besar dalam liku hidupnya dalam satu sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tengah hari tadi.

Setelah menabur bakti selama 19 tahun selaku pemain badminton utama negara, Chong Wei mengumumkan persaraanya dan jelas sekali di raut wajah bekas pemain nombor satu dunia itu, ia adalah satu keputusan sukar.

Pemain dari Bagan Serai, Perak, itu mengambil masa hampir sebulan untuk membuat keputusan berkenaan dan meluahkan rasa terkilan tidak dapat beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan misinya untuk menggenggam pingat emas Sukan Olimpik hanya tinggal impian.

"Saya mahu berterima kasih kepada BAM, paling mustahak adalah rakyat Malaysia yang sentiasa menaikkan semangat walaupun ketika saya kalah. 

"Begitu juga dengan Norza (Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria) serta keluarga ketika saya berdepan detik sukar. 

"Hari ini adalah hari persaraan saya dan saya ingin mengucapkan semoga media dan rakyat Malaysia dalam keadaan sihat dan jumpa lagi," katanya. 

Sementara itu, misi ke Tokyo tidak tertutup bagi Chong Wei yang ditawarkan memegang jawatan chef-de-mission (CDM) kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik. 

Salah satu faktor utama dia membuat keputusan bersara adalah kerana ingin mengutamakan kesihatan manakala bersaing di peringkat kompetitif akan memberi tekanan tinggi yang boleh memudaratkan kesihatannya.

Sepanjang kariernya, Chong Wei merangkul pingat perak tiga kali berturut-turut dalam Sukan Olimpik sejak edisi Beijing 2008.  
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen