Tentangan sengit yang dijelmakan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, dalam set kedua masih belum cukup buat mereka untuk mara ke final badminton Terbuka Vietnam, hari ini.

Peng Soon-Yee See terpaksa akur ditundukkan gandingan Indonesia, Riky Widianto-Masita Mahmudin, 21-15, 28-26.

Dalam pertarungan sengit yang berlanjutan selama 55 minit itu, Peng Soon-Yee See terperangkap dengan kelicikan lawan tidak ternama dari Indonesia itu yang bijak menggunakan keseluruhan gelanggang.

Dalam set pertama, Riky-Masita pantas menjarakkan kedudukan ketika Peng Soon-Yee See cuba menyusun gerakan yang lebih kemas.

Kebangkitan yang sudah dijangkakan daripada Peng Soon-Yee See dalam set kedua hanya merancakkan lagi saingan yang menyaksikan kemenangan gagal ditentukan menerusi 21 mata.

Pada ketika inilah, Yee See diasak lebih kerap sehingga tekanan mula dirasai pemain muda dari Kuala Lumpur itu dan akhirnya memberikan kelebihan kepada lawan untuk mengesahkan kemenangan.

Selepas kegagalan pasangan beregu campuran, harapan disandarkan ke atas pasangan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan apabila berdepan pasangan Indonesia, Della Destiara-Rizki Amelia Pradipta.

Mereka bermula perlahan apabila membiarkan lawan meraih mata mudah. Destiara-Amelia lebih menjadi tumpuan dengan perancangan serangan yang jitu untuk mengungguli aksi set pertama dengan kemenangan 21-7.

Beregu negara mempamerkan sedikit peningkatan dalam set kedua tetapi tidak kekal lama walaupun pada suatu ketika mereka berjaya merapatkan kedudukan.

Pasangan Indonesia itu menjadikan pukulan kencang dan taktik bertahan sebagai senjata utama untuk memuktamadkan kemenangan 21-17.

Turut terkandas, pemain perseorangan lelaki negara, Goh Giap Chin, apabila tewas kepada Suppanyu Avihingsanon dari Thailand 21-15, 21-15.