Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Perancis 2018 dengan bergaya apabila mara ke pusingan kedua di Paris, hari ini.

Gandingan muda itu, bagaimanapun, dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan pasangan adik-beradik Chew, Philip dan Ryan, 27-25, 21-12 dalam perlawanan pusingan pembukaan di Stade Pierre de Coubertin, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, pula terlepas ganjaran kejohanan sebanyak US$750,000 (RM3.123 juta) selepas kalah 21-16, 17-21, 16-21 kepada Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan.

Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, turut menerima nasib yang sama setelah ditewaskan pilihan kedua, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun 15-21, 14-21.

Bekas juara dan pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren, juga gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas 19-21, 17-21 kepada Rajiv Ouseph dari England.

-- BERNAMA