Pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia kembali bersambung hari ini dengan tumpuan terarah kepada pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, yang terkandas awal di tangan pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying.

Soniia gagal mempamerkan aksi terbaik apabila setiap serangannya mudah dipatahkan Tzu Ying.

Perbezaan kemahiran individu dan pengalaman menjadi pemisah dan Soniia ditunjukkan jalan keluar selepas tewas straight set 10-21, 9-21.

"Lawan saya pada hari ini dalam prestasi terbaik. Dia tidak melakukan banyak kesilapan mudah.

"Setiap pukulannya sangat berbahaya sehinggakan saya bergelut untuk membalasnya," kata Soniia.

Turut sama tersingkir adalah perseorangan lelaki profesional, Liew Daren.

Daren tumpas straight set kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie, 17-21, 18-21.

"Ini pertarungan pertama saya dalam kejohanan ini. Saya hanya mengetahui akan bertanding dalam kejohanan ini Isnin lalu yang membuatkan saya tidak sempat menguji keadaan gelanggang ini terlebih dahulu.

"Saya agak bergelut dengan keadaan gelanggang hari ini manakala bulu tangkis bergerak agak lambat, tidak seperti lazimnya," kata Daren.

Kem negara kembali ceria selepas seorang lagi pemain perseorangan negara, Lee Ying Ying, meneruskan kemaraan selepas menundukkan wakil dari Taiwan, Chiang Ying Li, 21-14, 19-21, 21-7.

"Beberapa hari lalu semasa melakukan persiapan, keyakinan saya semakin melonjak.

"Oleh itu, saya berasa gembira dapat menjelmakannya di atas gelanggang," katanya.