Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, berharap mereka akan terus mempamerkan aksi mantap dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 2-7 April ini.

Menampilkan aksi yang semakin konsisten tahun ini, termasuk berjaya layak hingga ke peringkat separuh akhir Kejohanan Seluruh England baru-baru ini, pasangan itu dilihat sedang menuju ke puncak prestasi mereka.

Pasangan itu juga berjaya mara sehingga suku akhir Masters Malaysia 2019 dan suku akhir Masters Indonesia 2019, Januari lalu, separuh akhir Terbuka Jerman (Februari) dan layak ke separuh akhir Seluruh England adalah pencapaian terbaik diraih mereka sejak digandingkan.

Soon Huat yang ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia berkata, “Sekarang kami bersedia dan fokus untuk menghadapi saingan Terbuka Malaysia. Persediaan semuanya lancar dan boleh nampak sejak Seluruh England kami semakin meningkat.”

“Daripada persembahan yang baik di sana, kami juga semakin mendapat keyakinan semasa beraksi. Tambahan pula, ranking dunia kami semakin meningkat, jadi ia juga satu lonjakan semangat buat kami,” kata Soon Huat yang kini berada di ranking kesembilan dunia bersama pasangannya, Shevon.

Soon Huat juga mengharapkan rentaknya dengan Shevon akan berterusan di hadapan penyokong sendiri dalam Terbuka Malaysia nanti.

“Kami harap dapat teruskan aksi dengan baik dalam Terbuka Malaysia. Bermula tahun ini, saya rasa kami dapat kekalkan prestasi dengan baik dan saya harap ia akan diteruskan lagi dalam Terbuka Malaysia dan semua kejohanan lain.

“Untuk setiap kejohanan yang kami sertai, kami sasar untuk ke suku akhir terlebih dahulu. Untuk pusingan pertama, kami akan bertemu pasangan Indonesia (Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami).

"Kami tidak pernah berjumpa sebelum ini, jadi sukar untuk meramalkan pertemuan itu nanti. Cuma kami harap dapat mempamerkan permainan yang baik semasa menentang mereka."

Merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah Dunia HSBC BWF, Terbuka Malaysia 2019 menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah ASD700,000.