Beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie, memiliki peluang untuk melakar dua sejarah unik dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 -- memenangi gelaran utama sulung dan menamatkan kemarau 56 tahun beregu tempatan di pentas saingan tertua negara.

Langkah awal ialah menewaskan gandingan Indonesia, Alfian Eko Prasetya dan Marsheila Gischa Islami untuk memadam igauan tersingkir seawal pusingan pertama dalam edisi tahun lalu.

Kejayaan pertama itu mampu meletakkan mereka di landasan terbaik untuk terus mengejar pencapaian juara yang kali terakhir dimenangi gandingan Tan Aik Huang-Teoh Siew Yong pada 1963.

"Selepas beberapa kejohanan, kami mengetahui harapan yang tinggi diletakkan kepada kami untuk menghasilkan kemenangan. Tetapi saya dan Soon Huat berusaha untuk mengetepikan sebarang tekanan dan cuba menampilkan permainan yang terbaik," kata Shevon.

Ia lebih terjurus untuk cuba memahat sejarah sebagai pasangan utama negara, mengatasi Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang kini bergerak sebagai profesional.

Prestasi mereka dalam dua kejohanan terakhir, Terbuka Jerman dan Seluruh England, membanggakan apabila bukan sahaja mara hingga separuh akhir, namun turut menumbangkan beberapa pemain ternama.

"Saya sangat teruja untuk beraksi di laman sendiri. Ia akan menjadi sokongan dan semangat buat kami menampilkan persembahan terbaik," kata Shevon.