Pemain beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying, masih belum berpuas hati dengan persembahan dan prestasinya bagi musim ini dan berharap gandingan bersama Chan Peng Soon mampu membuat kejutan dalam Terbuka Malaysia 2018.

Pasangan negara itu, bagaimanapun, berkata mereka sudah berbincang dengan jurulatih, Pang Cheh Chang, untuk sekurang-kurangnya memperbaiki prestasi dalam kejohanan yang akan membuka tirainya di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, esok hingga 1 Julai.

"Jurulatih sudahpun beri nasihat mengenai masalah kami. Apa yang perlu kami lakukan iala memperbaiki prestasi agar lebih baik. Bagi saya, apa yang paling penting adalah untuk kami kembali kepada prestasi terbaik kami seperti sebelum ini.

"Untuk Terbuka Malaysia kali ini, kami memang tiada apa-apa sasaran tapi saya yakin dapat melepasi cabaran pertama nanti dan jika bernasib baik akan jumpa rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai," katanya selepas majlis memperkenalkan trofi Siri Super Akhir 2018 yang akan diadakan di Guangzhou, China, Disember depan.

Gandingan itu, yang baru saja meraih kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, mengakui sudah bersedia selepas kembali pulih serta menyesuaikan diri dengan perbezaan masa.

Mengulas mengenai kemungkinan mereka akan berjumpa Soon Huat-Shevon dalam pusingan kedua, Liu Ying berkata tidak kira pasangan mana yang akan mara ke suku akhir, yang pasti ia bakal menggembirakan seluruh peminat badminton tanah air.

"Mengenai peluang ke suku akhir, jika ditakdirkan bertemu satu lagi pasangan Malaysia, semuanya tidak pasti kerana kami saling memahami corak permainan serta teknik masing-masing.

"Jadi, ia agak sukar dan kami tidak pasti peluang kami macam mana. Yang pasti, jurulatih mesti berpuas hati dan gembira jika salah satu pasangan mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, juga tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik, sebaliknya mahu fokus terhadap satu persatu perlawanan terlebih dahulu.

Dia yang akan bertemu pemain Taiwan, Pai Yu Po, dalam pusingan pertama, mengakui berpuas hati dengan undian tersebut dan yakin memiliki peluang untuk mara ke saingan seterusnya.

Pemain muda itu kini berada di tahap terbaiknya daripada segi stamina serta persediaan mental dan fizikal, termasuk bebas daripada sebarang kecederaan.

-- BERNAMA