Pusingan kelayakan Kejohanan Terbuka Malaysia yang menjadi tumpuan pada sesi pagi ini adalah pertembungan perseorangan lelaki di antara Liew Daren dan Soo Teck Zhi.

Berbekalkan pengalaman luas di pentas antarabangsa, Daren tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan seorang lagi pemain badminton negara, Teck Zhi, yang turut tersenarai dalam skuad projek khas BAM dengan kemenangan straight set, 21-15, 21-10.

"Saya telah lama tidak beraksi dalam kejohanan antarabangsa, saya mencari rentak di awal permainan. Bersambung dalam set kedua, permainan saya semakin lancar," kata Daren.

Satu lagi pertembungan membabitkan pemain negara adalah di antara Chong Wei Feng dan Tan Chun Seang. Set pertama, Wei Feng terlalu mengikut rentak lawan dan akhirnya memakan diri apabila tewas 11-21.

Wei Feng bangkit dalam set kedua dan berjaya mengheret Chun Seang ke set ketiga apabila menang 21-15.

Wei Feng mempamerkan kualiti yang dimiliki selepas berjaya menoktahkan kejayaan dengan kemenangan 21-16 untuk mara ke perlawanan seterusnya.

"Saya lambat menyesuaikan diri dengan gelanggang ini, ini merupakan punca saya tewas set pertama," ujar Wei Feng.