Terkandas dalam pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 tidak menggugat keyakinan gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, dalam misi tampil dengan persembahan lebih baik dalam Kejohanan Dunia nanti.

Hasrat Kian Meng-Pei Jing untuk mara lebih jauh dalam Terbuka Malaysia kali ini tidak kesampaian apabila tewas mudah kepada pasangan China, Zhang Han-Li Yunhui.

Ini merupakan penampilan pertama mereka sejak Kejohanan Badminton Asia (BAC), April lalu, dan ternyata pergerakan mereka di atas gelanggang belum mencapai tahap sebenar.

Dalam aksi di Arena Axiata semalam, Kian Meng-Pei Jing terpaksa tunduk kepada pilihan kelima itu 8-21, 12-21.

"Kami membuat persiapan yang panjang sempena kejohanan ini bagi membuktikan sesuatu tetapi mungkin terlalu ingin mencapai hasrat ini bukan sesuatu yang bagus juga.

"Kami meletakkan tekanan besar kepada diri sendiri.

"Saya percaya persembahan kami bukanlah yang terbaik, namun tahap prestasi kami akan semakin meningkat," kata Pei Jing.

Terbuka Indonesia selepas ini akan menjadi tumpuan Kian Meng-Pei Jing bagi menemui semula momentum perlawanan mereka.

Apa yang pasti, mereka berjanji akan tampil bersedia dalam Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Nanjing, China, hujung bulan depan.

"Minggu depan, kami akan menyertai Terbuka Indonesia. Selepas itu, kami bakal menyertai sama ada Terbuka Singapura atau Thailand sebelum menghadapi Kejohanan Dunia.

"Kami memiliki keyakinan, cuma ketika ini kami perlu mendapatkan rentak dalam kejohanan," katanya lagi.