Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, tidak berdepan kesukaran apabila melepasi halangan pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, sebentar tadi.

Aksi pusingan pertama menyaksikan Jin Wei turun berdepan pemain Taiwan, Pai Yu Po.

Sedikit tentangan cuba diberikan Yu Po dalam set pertama tetapi ia tidak menggugat corak permainan Jin Wei.

Kemenangan 21-13 dalam set berkenaan meletakkan wakil negara ini di kedudukan yang selesa untuk terus menguasai set berikutnya.

Kebangkitan yang dipamerkan Yu Po dalam set kedua hampir memaksa Jin Wei untuk bermain dengan lebih bertahan.

Bagaimanapun, Jin Wei, yang turut bermain dalam aksi kompetetif pertamanya sejak kempen Piala Uber, Mei lalu, meningkatkan rentak permainannya bagi menutup set berkenaan dengan keputusan 21-17.

"Saya membuat persiapan yang baik untuk berdepan Yu Po. Saya telah memberikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan berjaya diraih," kata Jin Wei.

Sementara itu, pilihan pertama perseorangan lelaki, Viktor Axelsen, memerlukan aksi tiga set sebelum mengetepikan cabaran pemain Thailand, Khosit Phetpradab.

Permulaan baik buat pemain Denmark itu apabila dia mudah menguasai set pertama untuk menang 21-17.

Begitupun, rentak yang sama gagal dikekalkan oleh Axelsen apabila membuat beberapa kesilapan, lantas membuka ruang buat Phetpradab meraih mata dan hasilnya menang 21-18.

Axelsen, bagaimanapun, kembali menemui corak permainannya dalam set penentuan apabila menutup saingan dengan kemenangan 21-13.

Dia akan berdepan seorang lagi pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, dalam pusingan kedua.

"Pusingan pertama selalunya sukar. Cuaca di Malaysia yang tidak menentu juga perlu diberikan perhatian untuk menyesuaikan diri," kata Axelsen.