Pemain muda perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei memberi bayangan untuk memburu sesuatu kejayaan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 yang akan berlangsung dari 26 Jun- 1 Julai ini di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

Dia yang ditemui ketika sesi latihan pasukan kebangsaan di Mont Kiara kelmarin mengatakan bahawa ilmu yang diraihnya di peringkat senior sudah cukup dan kejohanan badminton Terbuka Malaysia nanti bukan lagi pentas untuknya mengutip pengalaman.

Jin Wei berkata, “Setakat ini persiapan untuk Terbuka Malaysia sangat bagus. Dalam ujian kecergasan yang dijalankan pada minggu lepas, ia juga menunjukkan keputusan yang memberangsangkan untuk saya. Jadi tidak ada masalah dari segi persiapan.

“Banyak yang saya sudah pelajari dan peroleh pengalaman. Jadi bagi saya, ini bukan lagi masa untuk saya mencari pengalaman sebaliknya Terbuka Malaysia adalah tempat saya menunjukkan kemampuan dan mencatat keputusan yang baik,” kata pemain berusia 18 tahun itu.

Pemain itu bagaimanapun tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran spesifik sebaliknya berkata dia mahu fokus untuk mencari kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi dan tidak gentar untuk bertemu mana-mana pemain sekalipun.

Dia berkata, “Mengenai target spesifik untuk Terbuka Malaysia nanti, saya tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran tetapi akan memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan yang akan diharungi dari satu peringkat ke satu peringkat untuk menang. Saya akan gunakan kejohanan ini bukan lagi sebagai tempat mencari pengalaman.

“Biarpun pemain-pemain ranking tertinggi dunia sudah pasti menanti saya kerana kejohanan ini adalah satu kejohanan berperingkat tinggi dalam Siri Super, saya akan bersedia tidak kira lawan mana yang akan jumpa,” ujar Goh Jin Wei ketika ditemui.

Goh Jin Wei turut mengharapkan sokongan padu diberikan kepadanya dan juga rakan-rakan sepasukan. Dia berkata, “Saya akan memberikan terbaik kerana beraksi di tempat sendiri juga adalah satu kelebihan. Di samping itu, saya sangat mengharapkan sokongan padu daripada penyokong sejak dari pusingan pertama Terbuka Malaysia nanti kepada saya dan juga rakan-rakan lain,”katanya.

Pemain negara yang berada di ranking ke-31 dunia itu dijadualkan menentang pemain Chinese Taipei, Pai Yu Po yang kini menghuni ranking ke-21 dunia pada pusingan pertama.

Terbuka Malaysia 2018 adalah salah satu daripada lima kejohanan berprestij peringkat Super 750 dalam kalendar BWF tahun ini yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah USD700,000 (RM2.8 juta).