Perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, terpaksa mengutamakan kesihatan daripada misi peribadi untuk beraksi dalam Terbuka Malaysia bulan depan seandainya tidak mendapat persetujuan doktor pakarnya di Taiwan.

Chong Wei secara peribadi berasakan dia cergas ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar memandangkan dia perlu mengharungi perjalanan yang cukup kompetitif dalam Terbuka Malaysia nanti.

Selain bakal berdepan K. Srikanth dalam pusingan pertama, menantinya dalam suku akhir dan separuh akhir berkemungkinan Chen Long dan juga juara dunia, Kento Momota.

Meskipun jiwanya berkobar-kobar untuk membuat penampilan semula selepas lapan bulan tidak beraksi kerana diagnosis kanser hidung, Chong Wei akan akur dengan segala ketetapan sekiranya tidak dapat menyertai Terbuka Malaysia tahun ini.

"Selepas menjalani rawatan, saya tidak tahu tahap kecergasan saya. Doktor telah memberikan saya lampu hijau untuk menjalani latihan dan sekarang segalanya dalam minda saya untuk terus beraksi atau sebaliknya," katanya.

Chong Wei juga menolak bahawa ia merupakan penamat kepada 19 tahun penglibatannya dalam dunia badminton sekiranya tidak mendapat pelepasan doktor.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, semalam yakin Chong Wei berkemungkinan akan dapat membarisi skuad Malaysia untuk Piala Sudirman, Mei ini jika tidak dapat membuat penampilan dalam Terbuka Malaysia.

"Saya akan mengikut nasihat doktor. Jika saya mengalami kecederaan, ia boleh dipulihkan menerusi fisioterapi tetapi melihatkan tahap kesihatan saya."