Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, masih perlu menunggu lampu hijau daripada doktor pakar di Taiwan sebelum kembali turun mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia, April depan.

Chong Wei kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia hari ini selepas cuti Tahun Baru Cina.

Biarpun sesi latihannya hanya berlangsung selama satu setengah jam dan lebih singkat daripada kebiasaan, namun Chong Wei menegaskan dia semakin selesa berada di gelanggang.

Chong Wei akan terbang ke Taiwan bulan depan untuk mendapatkan keizinan daripada doktor pakar yang merawatnya setelah sebelum ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan dia akan kembali beraksi dalam Terbuka Malaysia dua bulan lagi.

"Kami akan menghadapi Terbuka Malaysia pada April dan melihat bagaimana keadaan. Saya juga akan ke Taiwan bulan depan bagi mengetahui laporan sama ada boleh menjalani latihan penuh atau tidak. Daripada situ, kita akan tahu jika saya dibenarkan menyertai Terbuka Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei mengakui persaingan bakal menjadi sengit untuk dia bersaing bersama pemain muda, Lee Zii Jia, serta seorang lagi pemain profesional, Liew Darren, bagi mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hanya 16 pemain terbaik bakal layak, dengan satu negara hanya boleh menyenaraikan dua pemain sahaja.

"Saya mahu layak dan ia bakal jadi kelayakan kelima. Kalau tidak dapat, sekurang-kurangnya saya pernah ke sana empat kali. Darren dan Zii Jia masih belum pergi ke saingan itu dan ia bergantung kepada pemain," ujarnya.