Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, memulakan kempen Terbuka Malaysia dengan langkah kanan selepas menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai, dalam straight set dalam pertemuan pusingan pertama, sebentar tadi.

Chong Wei turun dalam kempen kali ini dengan semangat tinggi dalam misi memburu gelaran Terbuka Malaysia ke-12 dalam kariernya.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan ternyata memihak Chong Wei dengan empat kemenangan terhasil ke atas lawannya sebelum ini.

Set pertama, bagaimanapun, berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling berbalas mengutip mata sebelum Chong Wei menemui kelemahan Sakai pada pertengahan permainan untuk merakamkan kemenangan 21-13.

Memasuki set kedua, Chong Wei mengekalkan rentak permainan di sebalik beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh Sakai.

Kebangkitan yang diharapkan oleh pemain Jepun ini tidak menjadi kenyataan apabila dia terpaksa akur dengan kekalahan 21-10 kepada Chong Wei.

Cabaran seterusnya buat Chong Wei ialah pertemuan pusingan kedua menentang pemain berpengalaman dari Korea Selatan, Lee Hyun-il, Khamis ini.

"Perlawanan pertama ini adalah medan persiapan untuk aksi akan datang dan berharap setiap kelemahan dapat diperbaiki untuk menampilkan aksi yang lebih baik dalam pusingan kedua," kata Chong Wei.