Empat beregu lelaki bakal membawa cabaran negara dalam Terbuka Malaysia edisi 2018, namun cabaran untuk menamatkan kemarau di laman sendiri tetap mahu dipikul Goh V Shem dan gandingannya, Tan Wee Kiong.

Selain V Shem-Wee Kiong, tiga beregu lain yang akan tampil dalam aksi bertaraf perdana ini adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen dan Aaron Chia-Soh Woi Yik.

Bagi V Shem, kehadiran rakan gandingan lain bukan sahaja meredakan tekanan, malah meningkatkan peluang untuk Malaysia mencabar kejuaraan.

"Peratus untuk Malaysia menang akan lebih tinggi, terpulang kepada setiap pasangan beregu.

"Kami patut membuat persiapan peribadi. Saya harap kami dapat melangkah ke suku akhir dan fokus satu persatu perlawanan," kata V Shem.

Namun, itu tidak bermakna V Shem secara peribadi akan merelakan mana-mana lawan, termasuk rakan senegara, menghalang kemahuannya merampas kejuaraan kali ini.

Bekas juara edisi 2014 bersama Lim Khim Wah itu akan memulakan kempen menentang wakil dari Thailand.

"Dalam kempen Piala Thomas, kami sudah mencuba yang terbaik, biasalah ada kalah dan menang dan semua itu sudah berlalu.

"Sekembalinya di Malaysia, kami banyak berlatih. Saya harap dapat mencapai rentak dalam aksi di tempat sendiri," katanya lagi.