Tamat Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2017, selain kekalahan perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, di pentas final, banyak perkara yang boleh dipertikaikan, antara yang utama adalah kemampuan barisan pemain lain yang longlai sehingga tersingkir awal.

Antara faktor utama menyelubungi kegagalan kem negara untuk Terbuka Malaysia kali ini, sudah semestinya kecederaan yang menimpa sebilangan kecil pemain.

Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, cedera pergelangan kaki kiri pada saat akhir serta Goh Liu Ying yang masih belum pulih daripada demam.

Perseorangan wanita, beregu lelaki serta beregu wanita juga tidak banyak yang boleh dibanggakan apabila kesemuanya gagal menepati sasaran untuk mara jauh dalam kejohanan meskipun beraksi di laman sendiri.

Mujurlah gandingan Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yuen membibitkan sedikit harapan apabila kembali menampilkan aksi terbaik mereka sejak kembali bergabung pada tahun lalu.

"Selepas Kejohanan Berpasukan Asia, kami telah menjalani latihan sebagai persiapan beraksi dalam Terbuka Malaysia," kata Mei Kuan.

Dalam pada itu, tumpuan utama diberikan kepada acara perseorangan apabila Malaysia masih tiada pilihan lain untuk disandarkan selain Chong Wei.

Jurang yang terlalu luas di antara pemain muda negara dan pemain lawan yang sebaya, tatkala mereka sudah jauh ke depan, pemain negara pula seakan-akan selesa di takuk lama.

"Saya akan terus beraksi untuk Malaysia, persaraan masih belum dalam perancangan saya, semangat saya di dalam sukan ini masih belum luntur," kata Chong Wei.