Enggan mendabik dada, Datuk Lee Chong Wei akan memulakan perburuan gelaran juara Terbuka Malaysia ke-12 dengan memberi fokus kepada setiap perlawanan yang dihadapi.

"Tidak ada tekanan untuk menjadi juara kerana saya telah memenangi kejohanan ini 11 kali," katanya.

Baginya, bertemu Lin Dan, Chen Long atau sesiapa sahaja perlu ditangani secara serius dalam setiap perlawanan.

"Saya akan cuba memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan. Menang atau kalah, saya sebenarnya perlu lebih fokus kepada permainan diri sendiri, bukan kepada lawan," katanya.

Juara Seluruh England 2017 itu mengakui bukan senang hendak menang setiap tahun mahupun setiap perlawanan.

"Saya perlu fokus kepada permainan diri sendiri. Mental perlu kuat.

"Dalam kejohanan ini, banyak orang 'geram' dengan saya dan pastinya mahu menewaskan saya di depan penyokong saya sendiri," katanya.

Apa pun di sebalik tekanan yang dialami lawan, Chong Wei akan menggunakan pengalaman 11 kalinya sebagai juara Terbuka Malaysia untuk mengekalkan kejuaraan.

"Biarlah mereka dengan tekanan mereka, saya akan fokus kepada usaha untuk muncul juara untuk kali ke-12.

"Ketika ini pun, saya tidak fikir ada orang boleh pecah rekod saya dengan kejuaraan 11 kali itu," tambahnya.

Di Stadium Perpaduan Sarawak yang menjadi venue kali ini, Chong Wei pernah mencipta episod mendebarkan sebelum mengalahkan Lin Dan dalam aksi akhir pada 2006.

"Itu cerita lama. Cerita 11 tahun lalu dan saya sudah lupakannya.

"Keadaan sekarang berbeza dan tahun ini, motivasi saya masih tinggi setelah merangkul kejuaraan keempat All England," katanya yang menarik diri daripada Terbuka India kerana cedera.

Bagaimanapun katanya, kecederaannya itu semakin pulih dan diharapkan tidak terlalu serius.

Aksi pemanas badan Chong Wei dijangkakan pada Rabu ini, iaitu hari kedua kejohanan.