Kempen Malaysia dalam saingan Terbuka Jepun berakhir dengan penyingkiran wakil beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, walaupun mempamerkan cabaran getir buat pilihan utama kejohanan, Xheng Siwei/Huang Yaqiong, apabila tewas 21-16, 17-21, 21-14.

Peng Soon dan Liu Ying kekal sebagai wakil tunggal negara dalam saingan ini selepas satu lagi beregu campuran, Goh Soon Huat/Shevon Lai terkandas di peringkat suku akhir.

Di atas kertas, perlawanan itu dilihat seimbang memandangkan rekod pertemuan sebelum ini memihak gandingan emas Malaysia selepas meraih kemenangan straight set ketika Terbuka Indonesia, Julai lalu.

Namun, Peng Soon/Liu Ying sedar bukan mudah untuk menafikan gandingan yang semakin mengukuhkan reputasi sejak digandingkan pada tahun ini.

Tewas dalam set pertama 21-16, Peng Soon/Liu Ying mengorak kebangkitan dalam set berikutnya dengan menggunakan segala kudrat yang ada untuk mengheret aksi ke penentuan dengan catatan 21-17 dalam permainan seterusnya.

Bagaimanapun, momentum agresif itu hilang dalam set ketiga, tidak termasuk kesilapan mudah yang memberikan mata demi mata kepada lawan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan kami. Tetapi banyak kesilapan serta terlalu cepat untuk memenangi perlawanan ini mengundang padah buat kami," kata Peng Soon.

Akhirnya, Peng Soon dan Liu Ying terpaksa akur dengan kekalahan 21-14 ketika set penentuan, sekaligus terpaksa mengalihkan tumpuan ke Terbuka China, 18 September ini.

"Kami akan bertemu lawan yang sama dalam kejohanan seterusnya dan mahu memastikan kesilapan sama tidak diulangi."