Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan kejituan dalam pertembungan tiga set ketika menentang gandingan beregu campuran Indonesia untuk menempah kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Jepun.

Menjadi halangan Peng Soon-Liu Ying dalam suku akhir hari ini ialah Praveen Jordan-Melati Oktavianti.

Sejak rali pertama perlawanan, terbukti hanya jurang tipis akan memisahkan beregu manakah yang akan dijulang sebagai pemenang.

Set pertama menyaksikan peranan Liu Ying mengawal bahagian depan gelanggang membuahkan hasil apabila dia dan Peng Soon merampas set pertama 21-19.

Set berikutnya menawarkan aksi lebih sengit apabila Peng Soon-Liu Ying tidak mudah mengalah biarpun pada suatu ketika ketinggalan 17-21.

Pastinya mereka terkilan apabila dua kesilapan mudah memberikan ruang buat lawan mengheret aksi ke set penentuan dengan catatan 22-20.

Seperti dua set sebelumnya, kedua-dua beregu campuran itu tidak menampakkan kemahuan untuk merelakan kemenangan lawan dengan mudah.

Tetapi, pada penghujung aksi, kelebihan dua mata dikekalkan Peng Soon-Liu Ying sebagai pemangkin untuk mereka memutlakkan kemenangan 21-17 selepas sejam lapan minit pertarungan.

Mereka kini perlu bersiap untuk mencongak perhitungan dengan pilihan utama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, dalam aksi separuh akhir esok.