Datuk Lee Chong Wei cuma selangkah lagi daripada meraih gelaran ketujuh Terbuka Jepun selepas menundukkan pilihan kedua kejohanan, Shi Yuqi, hasil kemenangan straight set untuk bertemu juara dunia 2017, Viktor Axelsen, dalam final.

Turun selaku juara bertahan, ini peluang terbaik Chong Wei mendapatkan kembali rentak kemenangan dalam aksi kompetitif, apatah lagi selepas menghadapi kempen penuh duka dalam Kejohanan Dunia bulan lalu.

Namun, berdepan pilihan kedua dari China itu bukan satu tugasan mudah buatnya.

Yuqi berjaya memaksa Chong Wei mengerah keringat sehingga satu ketika berjaya mendahului dengan jurang tujuh mata.

Namun, Chong Wei tenang memungut mata demi mata sehingga mengikat kedudukan 19-19.

Dua mata tambahan selepas itu berjaya memastikan Chong Wei merampas set tersebut.

Aksi lebih kemas dipamer Chong Wei dalam set kedua.

Mendahului sepanjang perlawanan, Chong Wei hanya melepaskan lapan mata buat lawannya itu untuk menang dengan keputusan 21-8 sekaligus ke final bertemu wakil Denmark, Axelsen, yang masih segar bergelar juara dunia.