Final Siri Super Terbuka Jepun yang berakhir semalam menyerlahkan dua perkembangan dalam saingan elit perseorangan lelaki.

Datuk Lee Chong Wei semakin mendapat momentum sambil Viktor Axelsen terus membuktikan mengapa dia muncul juara dunia.

Dalam perlawanan akhir semalam, Chong Wei tewas 14-21, 21-19, 14-21 kepada Axelsen ketika pemain negara itu mahu membuktikan dia sudah pulih daripada duka penyingkiran awal Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, yang sudah mengkaji perlawanan itu, berasakan Chong Wei berada dalam landasan untuk mencapai prestasi kemuncak untuk kejohanan penting sepanjang 2018.

"Saya tengok dia nampak tenang. Yang penting dia tahu keadaan diri dia dan bermain dalam keadaan terbuka. Chong Wei terima apa seadanya, sebab itu dia boleh bermain.

"Dia adalah pemain berpengalaman yang telah menang banyak menyertai Siri Super tetapi pemain baru seperti Axelsen sentiasa mencari peluang.

"Mereka mencari peluang ke atas pemain lama bagi meningkatkan prestasi mereka. Jadi, itulah dinamakan saingan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Misbun menawarkan bayangan Terbuka Jepun bukan kejohanan terakhir Chong Wei dengan ada kemungkinan anak buahnya itu membuat penampilan di Eropah.

"Chong Wei ada lagi kejohanan seperti Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis. Itu yang dibincangkan. Kalau dia mahu pergi, kami perlu menyiapkan dirinya ke Eropah.

"Di Eropah lain, dengan cuacanya agak sejuk dan masa perjalanan. Tetapi Chong Wei sudah banyak melaluinya, yang penting dia perlu menyiapkan diri untuk menyertai pertandingan itu," tambah Misbun.