Dua perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan Soniia Cheah, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta selepas menewaskan lawan masing-masing, hari ini.

Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan dari Thailand, Khosit Phetpradab, 21-14, 21-13 untuk mencongak perhitungan dengan pilihan kelima kejohanan dari China, Chen Long, dalam pusingan berikutnya.

Kejayaan itu disusuli Soniia yang menundukkan pemain China, Cai Yan Yan, 21-8, 21-17 untuk bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nozumi Okuhara dalam pusingan kedua esok.

Bagaimanapun, bencana besar menimpa kem beregu lelaki negara apabila ketiga-tiga wakilnya terkandas dalam pusingan pertama.

Taruhan utama, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tewas kepada pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, 21-17, 15-21, 16-21 manakala beregu profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, turut ditunjukkan jalan keluar oleh satu lagi pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, selepas tewas 21-17, 19-21, 14-21.

Chooi Kah Ming-Low Juan Shen pula tunduk kepada wakil Indonesia, Wahyu Nayaka Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso, 21-15, 21-18.

Sementara itu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.

Soon Huat-Shevon menewaskan pasangan Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara, 21-12, 21-8 manakala Peng Soon-Liu Ying dipaksa mengerah keringat sebelum menyingkirkan pasangan tuan rumah, Ronald Ronald-Anissa Saufika.