Terbuka Indonesia: Zii Jia cipta kejutan besar singkir Chen Long 

Oleh Bernama 19 Julai 2019 29652
Terbuka Indonesia: Zii Jia cipta kejutan besar singkir Chen Long 
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, merakamkan kejutan terbesar dalam kariernya apabila menyingkirkan juara Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, seawal pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, malam tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang dianggap bakal pengganti Datuk Lee Chong Wei, menampilkan aksi cemerlang apabila mengatasi lawan dari China itu 21-16, 19-21, 22-20 dalam pertarungan selama 88 minit di Istora Senayan.

Kemenangan tersebut membolehkan Zii Jia buat pertama kali melangkah ke suku akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF Super 1000. Dia akan menentang pemain Denmark, Anders Antonsen, untuk merebut slot separuh akhir.

Antonsen mendapat kemenangan percuma dalam pusingan kedua selepas pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi, dari China menarik diri dalam set pertama.  

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai, turut mara ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan keenam dan wakil tuan rumah, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-15, 21-18.

Beregu campuran senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut mara ke pusingan seterusnya apabila dengan mudah menyingkirkan pilihan kelapan, Tan Chun Man-Tse Ying Suet, dari Hong Kong dengan straight set 21-15, 21-14.

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, selaku pilihan kelima, turut mengesahkan tempat dalam suku akhir apabila mengalahkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung, 21-19, 21-15.

Dalam pada itu, cabaran negara dalam acara perseorangan dan beregu wanita berakhir dalam pusingan kedua apabila pemain perseorangan, Soniia Cheah, tewas kepada pemain nombor tiga dunia, Nozomi Okuhara, dari Jepun 7-21, 16-21.

Beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, turut mengalami nasib sama apabila kalah 13-21, 12-21 kepada satu lagi beregu Jepun, Matsutomo-Ayaka Takahashi, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Satu lagi beregu negara, Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen, tersekat ke pusingan seterusnya apabila memberi tentangan sengit sebelum kalah 21-19, 12-21, 10-21 kepada beregu Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen