Pemain badminton beregu negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia 2018 berbekalkan keyakinan tinggi selepas menumbangkan gandingan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam pusingan pertama.

Pertarungan di Istora Senayan buat dua beregu itu menarik perhatian kerana ia merupakan pertemuan pertama dalam karier mereka.

Peng Soon-Liu Ying dilihat masih mencari rentak sejak digandingkan semula, Januari lalu, dan mereka hanya menjuarai dua kejohanan, iaitu Terbuka Amerika Syarikat dan Masters Thailand.

Bagaimanapun, mereka menggunakan pengalaman untuk menguasai keadaan angin kuat di dalam Istora Senayan untuk menang 21-19 dalam set pertama, sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan 21-19 dalam set kedua, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

"Keadaan angin di sini sangat kuat, jadi sukar untuk beraksi dengan baik. Saya rasa Soon Huat dan Shevon beraksi dengan baik tetapi kami dapat mengawal keadaan," ujar Peng Soon.

"Ranking lawan lebih tinggi, jadi saya rasa tekanan lebih tinggi buat mereka. Kami hanya cuba beraksi di tahap terbaik," tambah Liu Ying pula.