Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik tersingkir awal

Oleh Bernama 16 Julai 2019 3686
Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik tersingkir awal
Permulaan kurang baik buat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, apabila terkandas dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, hari ini.

Gandingan itu akur tewas kepada pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, 21-19,15-21, 9-21.

"Untuk perlawanan hari ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Masih ada banyak lagi kejohanan yang akan datang. Apapun, kami beraksi dalam keadaan baik hari ini," kata Aaron.

Ini adalah kejohanan pertama disertai naib juara Seluruh England 2019 itu selepas berehat panjang daripada sebarang kejohanan kompetitif.

Beregu negara itu akan meneruskan pemburuan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 dalam Terbuka Jepun di Tokyo (23-28 Julai ini) dan Terbuka Thailand di Bangkok (30 Julai - 4 Ogos). 

Sementara itu, beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing.

Gandingan Vivian-Cheng Wen dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki 22-20, 20-22, 22-20 dan akan berdepan pasangan Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan, dalam pusingan kedua.

Mei Kuan-Meng Yean pula, yang menduduki ranking ke-14 dunia, tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan gandingan Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto, 21-16, 21-16.

Bagaimanapun, pasangan negara itu akan melalui halangan berliku apabila berdepan pasangan di ranking ketiga dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takashi, dalam pusingan kedua.

Turut mara ialah pasangan beregu campuran, Tan Kean Meng-Lai Pei Jing, yang menewaskan pasangan China, Lu Kai-Chen Lu, 23-21, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalam pusingan berikutnya esok.

-- BERNAMA  

Tentang Penulis

Bernama

Komen