Impian beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Siri Super Terbuka India tersekat selepas tewas kepada pasangan handalan China, Li Junhui dan Liu Yuchen, hari ini.

Kekalahan dalam suku akhir itu seharusnya mencetus kebimbangan empat bulan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur mahupun Kejohanan Dunia apabila pasangan harapan negara itu tewas straight set, 15-21, 17-21.

Kejatuhan ranking selepas Seluruh England, apatah lagi dengan reputasi lawan yang muncul naib juara dalam kejohanan berprestij itu di Birmingham lalu, V Shem dan Wee Kiong gagal bangkit selepas tewas set pertama 15-21.

Bahkan, pasangan negara itu nyata tenggelam dengan kepantasan Junhui-Yuchen yang kini menghuni ranking ketiga dunia, dengan V Shem-Wee Kiong tidak pernah mendahului mata lawan selepas ketingalan 2-3.

Ada tanda-tanda kebangkitan pada ketika China mendahului 20-16, tetapi dengan mudah harapan direntap China dengan kekalahan 17-21 untuk gelanggang ditinggalkan dengan noktah kekecewaan.