Terbuka China: Zii Jia mara ke pusingan kedua

Oleh Bernama 5 November 2019 2862
Terbuka China: Zii Jia mara ke pusingan kedua
Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, hari ini melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China di Fuzhou.

Pemain itu, bagaimanapun, terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan pemain Singapura, Loh Kean Yew, 19-21, 21-18, 21-12 dalam perlawanan pembukaan yang berlarutan selama 65 minit di gelanggang Haixia Olympic Sports Center, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, bagaimanapun, tersingkir daripada kejohanan itu selepas tidak dapat meneruskan set kedua dalam perlawanan menentang pemain nombor satu dunia, Kento Momota, dari Jepun disebabkan kecederaan. Momota meraih kemenangan 21-17 dalam set pembukaan.

Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut mara ke pusingan kedua dengan menumpaskan pasangan dari Taiwan, Lee Yang-Yang Ching Tun, 21-10, 21-16.

Dalam saingan beregu lelaki pula, dua pasangan Malaysia tersingkir daripada kejohanan yang menawarkan hadiah ASD700,000 (RM2.892 juta) itu.

Bekas pasangan badminton beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, ditewaskan oleh beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, 15-21, 16-21 manakala pasangan beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, ditewaskan pasangan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 17-21, 10-21.

Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen, juga tersingkir selepas ditewaskan pasangan dari China, Dong Wen Jing-Feng Xue Ying, 15-21, 9-21.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen