Siri Super Premier Terbuka Indonesia menjadi aksi kompetitif terakhir Datuk Lee Chong Wei sebelum Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, apabila dia mengambil keputusan menarik diri daripada Siri Super Terbuka Australia.

Terbuka Australia sebelum ini menjadi sebahagian perancangan penting buat jaguh perseorangan lelaki negara itu sebagai medan pemanas badan sebelum kempen di Glasgow.

Bagaimanapun, penyingkiran awal dalam pusingan kedua Terbuka Indonesia mempengaruhi keputusannya untuk menarik diri pada saat-saat akhir.

Elemen kecergasan dan aspek pendekatan mental turut memainkan peranan terhadap perkembangan itu.

"Chong Wei berasakan dia tidak bersedia dan memerlukan masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia," ujar Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Chong Wei juga difahamkan menolak sebarang tawaran untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif selepas ini.

Ini bermakna kehadiran Datuk Misbun Sidek yang akan memulakan tugas pada 1 Julai ini berupaya menawarkan Chong Wei sesuatu yang berbeza.

Frost juga menegaskan kejutan penyingkiran Chong Wei di Jakarta tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan memandangkan calon juara dunia seperti Chen Long yang terkandas dalam suku akhir juga menjadi mangsa keadaan angin tidak menentu di venue pertandingan, Pusat Konvensyen Jakarta.

"Saya jarang melihat begitu banyak kejutan dalam sesebuah kejohanan, ini sesuatu yang menarik.

"Saya berasakan kawalan di sebelah bahagian gelanggang berbeza di antara satu sama lain kerana faktor angin jelas memainkan peranan besar.

"Banyak perlawanan berakhir dengan tiga set.

"Chong Wei difahamkan menolak tawaran untuk beraksi dalam kesemua baki kejohanan sebelum kempen Glasgow, ini bermakna dia akan mula berlatih di bawah ketua jurulatih, Misbun Sidek, pada 1 Julai tanpa sebarang gangguan."

Dalam masa sama, barisan kejurulatihan negara mengharapkan agar Goh V Shem-Tan Wee Kiong memanfaatkan sepenuhnya aksi di Australia setelah terlepas kempen di Jakarta akibat kecederaan.