Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, gagal untuk merangkul gelaran kedua musim ini selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan dalam aksi straight set final Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, sebentar tadi.

Mungkin kerana keletihan selepas dipaksa bekerja keras dalam pertarungan separuh akhir semalam, Peng Soon-Liu Ying bermula perlahan dengan membiarkan Seo Seung Jae-Chae Yujung mengawal permainan sejak awal.

Pasangan Malaysia itu cuba menyaingi lawan dan menghampiri kepada kedudukan 7-8, namun Peng Soon-Liu Ying gagal meneruskan rentak itu apabila ketinggalan jauh 10-18 sebelum hanya mampu mengutip dua mata saja lagi untuk menyerahkan set pertama 21-12.

Peng Soon-Liu Ying yang kembali digandingkan tahun ini cuba bangkit dalam set kedua dengan mempamerkan kualiti selaku Olimpian.

Dengan permainan yang lebih kemas serta mengurangkan kesilapan, mereka mendahului 16-12 sebelum membenarkan pasangan beregu campuran Korea itu menyamakan kedudukan 18-18.

Peng Soon-Liu Ying berpeluang memenangi set kedua ketika mendahului 20-19, sebaliknya gagal menyempurnakan mata akhir yang menyaksikan perlawanan berlanjutan hingga ke dius.

Akhirnya, sisa perjuangan Peng Soon-Liu Ying berakhir dengan Seung Jae-Chae Yujung menoktahkan kemenangan 23-21 dalam set kedua selepas pertarungan 46 minit.