Selepas tewas kepada Jepun 1-4 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Jerman tetap optimis mampu mengatasi Malaysia dalam perlawanan terakhir mereka esok bagi menghidupkan peluang ke suku akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Gold Coast, Australia.

Pemain paling senior yang juga kapten pasukan Jerman, Marc Zwiebler, percaya peluang pasukan Eropah itu belum tertutup dan mampu melakukan kejutan ke atas Malaysia.

Dengan menyifatkan tiada pasukan yang mempunyai kelebihan dalam kejohanan kali ini, Zwiebler yakin pasukannya akan tampil lebih baik berbanding bertemu Jepun.

Zwiebler yang menghampiri penghujung kariernya mengakui berdepan tugas besar untuk menyumbang mata apabila kemungkinan berdepan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam acara perseorangan lelaki.

"Kami ke sini untuk memberikan yang terbaik dan tiada apa yang merugikan kami, jadi tekanan pastinya terarah kepada Malaysia," katanya.

"Saya ada beberapa kali bertemu dengannya (Chong Wei), bermain bersama. Dia mengetahui cara permainan saya dan begitu juga saya, tetapi malangnya ia tidak memberikan hasil yang baik untuk saya."

Kali terakhir Jerman bertemu Malaysia dalam saingan Piala Sudirman ialah pada 2013 di Kuala Lumpur di mana mereka mengejutkan Malaysia 3-2 untuk menyingkirkan tuan rumah dalam peringkat kumpulan.

Sementara itu, pemain beregu campuran Jerman, Isabel Herttrich, turut melaungkan sentimen sama mengenai peluang pasukannya dalam perlawanan kedua menentang Malaysia.

Herttrich, yang berpasangan dengan Mark Lamsfuss dalam perlawanan menentang pasangan campuran Jepun, Kenta Kazuno-Ayane Kurihara, tewas 17-21, 21-13, 16-21.

Sekalipun kecewa dengan kekalahan itu, Herttrich tidak patah semangat untuk meneruskan peluang Jerman merebut salah satu tempat dalam saingan suku akhir.

"Pasti kami berasa kecewa kerana tewas, tetapi prestasi kami agak baik dan masih boleh dipertingkatkan. Kami akan melakukan lebih baik esok," kata Herttrich.