Suku akhir peluang terbaik Aaron, Wooi Yik -- Choong Hann

Oleh Staff Writer 19 November 2019 2842
Suku akhir peluang terbaik Aaron, Wooi Yik -- Choong Hann
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menjelaskan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik wajib sekurang-kurangnya layak ke pusingan suku akhir kejohanan Masters Korea Selatan bagi memastikan tempat dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF musim ini.

Choong Hann menganggap pasangan beregu lelaki negara itu mempunyai peluang cerah untuk meraih slot ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Guangzhou, China bermula 11 Disember depan.

Aaron dan Wooi Yik kini berada di ranking kelapan Jelajah Dunia itu selepas wakil Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Addrianto, terpaksa diketepikan apabila setiap negara hanya boleh menghantar dua pasangan.

Choong Hann juga menambah bahawa wakil profesional negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, hanya boleh memintas kedudukan kedua-dua pemain kebangsaan itu jika mereka mampu meraih kejuaraan di Korea Selatan.

"Sama ada mereka layak atau tidak, ia bergantung kepada keputusan di Korea Selatan. Ia kerana mereka tampak berpeluang cerah apabila mendahului V Shem dan Wee Kiong, namun selagi saingan belum tamat, apa sahaja pertukaran boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, bekas pemain negara itu memberi bayangan kejayaan Cheam June Wei dalam kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia, minggu lalu mampu membantu menyelamatkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan.

"Semua keputusan akan diambil kira dalam penilaian prestasi pemain. Jadi, saya rasa keputusan yang diraih June Wei amat memberangsangkan dan kami akan menilainya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen