M. Thinaah menjadi pemangkin kebangkitan Selangor dalam menewaskan Perak 3-1 dalam aksi final badminton berpasukan wanita, sekali gus meraih emas pertama Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 sementara Pulau Pinang menamatkan penantian 18 tahun emas berpasukan lelaki dengan menundukkan Wilayah Persekutuan 3-0.

Perak mendahului apabila Lee Ying Ying menewaskan H. Dharshana 21-4, 21-10 sebelum Thinaah memulakan kebangkitan Selangor dengan menewaskan Eoon Qi Xuan 21-23, 21-16, 21-18.

Selangor kemudian meraih mata kedua menerusi K. Letshanna yang menewaskan Desiree Siow 21-6, 22-20.

Selangor memastikan emas pertama Sukma 2018 diraih apabila gandingan Lee Zhi Qing-Ng Wan Win menewaskan Eoon Qi Xuan Valeree Siow 12-21, 21-13, 21-18.

"Sasaran kami adalah bermain dengan baik. Walaupun ketinggalan, Selangor tetap mempamerkan aksi yang cemerlang sebelum meraih kemenangan," kata Letshanaa.

"Semangat yang ditunjukkan pemain Perak sangat baik tetapi percaturan Selangor telah berjaya menjerat kami," kata jurulatih Perak, Fairuzizuan Tazari.

Bagi jurulatih Pulau Pinang, Rozlan Rajan Abdullah, pemain-pemainnya juga bermotivasi tinggi selepas tewas dalam final dua tahun lalu.

Kerana itu juga beliau meniupkan semangat serta keyakinan untuk barisan pemainnya sebelum mencatatkan kemenangan.

"Dua tahun lalu, kami tewas kepada Selangor dan saya memberikan semangat kepada pemain-pemain bahawa tahun ini kami akan meraih emas," kara Rozlan.

Pulau Pinang meraih mata pertama apabila Yeoh Seng Zoe menewaskan Leong Jun Hao 21-18, 17-21, 21-20.

Tan Jia Wei kemudian merakam mata kedua dengan menewaskan Muhammad Aiman 21-8, 21-5 sebelum Cheam June Wei kemudian mengesahkan emas ke-10 Pulau Pinang dengan menewaskan Lim Chong King 21-12, 21-15.

Bagi Seng Zoe, ia satu kebanggaan menamatkan penantian emas berpasukan lelaki buat negerinya selaku perseorangan utama.

"Saya berasa sangat gembira di atas kemenangan ini. Saya sangat berbangga kerana meraih mata penting buat Pulau Pinang," katanya.