Kontinjen Kedah terlepas pingat emas badminton acara individu lelaki apabila pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Lee Zii Jia, disahkan tidak beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 Perak akibat kecederaan.

Ketua jurulatih badminton Kedah, Ari Anshori, berkata Zii Jia terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan dinasihati oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

“Zii Jia merupakan pemain pilihan utama dalam Sukma Perak kali ini. Selepas balik daripada Sukan Asia baru-baru ini, dia mengalami kecederaan, iaitu sakit belakang badan.

“Dia mahu turun beraksi dalam Sukma tetapi untuk mengelakkan kecederaan bertambah teruk, Zii Jia tidak beraksi kali ini,” katanya.

Jurulatih dari Indonesia itu berkata sasaran pingat kini tertumpu kepada beregu wanita dan beregu campuran.

“Jika Zii Jia ada, berpasukan mungkin berpotensi ke final bagi acara berpasukan lelaki, jadi target berpasukan lelaki adalah semi final sahaja,” jelasnya.

Pencapaian terbaik skuad badminton Kedah dalam Sukma adalah pada edisi 2010 di Melaka, iaitu satu pingat emas berpasukan lelaki dan dua perak bagi acara beregu campuran serta perseorangan lelaki.