Dua pemain badminton kebangsaan, Tan Jia Wei dan S. Kisona, membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Dalam aksi di Arena Badminton Perak, Jia Wei menewaskan Aidil Sholeh dari Selangor 21-16, 21-19 tatkala Kisona terpaksa melakukan perhitungan dalam set penentuan sebelum meraih emas menerusi kuemenangan 25-27, 21-18, 21-19.

Bagi Jia Wei, dia sentiasa cuba memastikan agar tidak terikut-ikut dengan rentak lawan bagi membolehkannya meraih emas kali ini.

"Semestinya saya gembira apabila mengutip emas. Saya telah berkorban banyak perkara untuk kejohanan ini dan berasa puas.

"Dua emas buat Pulau Pinang daripada saya, ia memberikan kepuasan dan diharapkan mampu memberi sumbangan lebih banyak pada masa akan datang," kata Jia Wei.

Sementara itu, Kisona mengetepikan masalah kecederaan yang membelenggu dirinya untuk mempamerkan kebangkitan menewaskan wakil tuan rumah, Lee Ying Ying, dalam aksi lebih 80 minit.

"Memang Ying Ying sangat kuat dan dia beraksi dalam banyak kejohanan. Sebenarnya, saya tidak berlatih selama tiga bulan kerana kecederaan dan hanya melalui proses pertarungan ringan.

"Saya juga tidak patut menyertai saingan kali ini tetapi berdegil memandangkan ini penampilan terakhir saya," ujar Kisona.