Pemain badminton perseorangan lelaki Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin, menampilkan antara persembahan terbaiknya dengan menyingkirkan dua pemain pilihan untuk meneruskan kemaraan ke final acara individu dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak, hari ini.

Aidil terlebih dahulu melakar kejutan di Arena Badminton Perak dengan mengatasi pilihan utama, Leong Jun Hao dari Wilayah Persekutuan dalam aksi suku akhir pada sebelah pagi.

Dia, yang menjuarai Kejohanan Bawah 18 tahun (B-18) Kebangsaan tahun lalu, mengekalkan rentak berkenaan dalam aksi separuh akhir.

Berdepan pilihan ketiga, Yeoh Seng Zoe dari Pulau Pinang, Aidil tidak tergugat dengan reputasi lawan.

Sebaliknya, kawalan gelanggang kemas dalam set pertama menyaksikan dia melakar kemenangan 21-12.

Tentangan lebih hebat diberikan oleh Seng Zoe dalam set berikutnya apabila mengikat kedudukan 20-20 sebelum tuah memihak Aidil untuk menamatkan saingan hasil keputusan 22-20.

"Saya gembira dan tidak sangka dapat ke final kerana hanya menyasarkan separuh akhir.

"Lagipun dalam undian laluan saya, Leong Jun Hao merupakan pencabar terkuat.

"Aksi saya dalam separuh akhir lebih baik daripada sebelah pagi kerana ketika itu rentak saya kaku.

"Namun, saya mendapat semula rentak," kata Aidil.

Lawan yang menanti Aidil dalam final esok merupakan seorang lagi pemain Pulau Pinang, Tan Jia Wei.

Diletakkan selaku pilihan kedua, Jia Wei tidak berdepan kesukaran untuk mengetepikan Faiz Rozain yang mewakili Terengganu.

Segalanya menjadi buat Jia Wei apabila merakam kemenangan straight set 21-14, 21-15 dan kini memburu pingat emas peribadi keduanya selepas membantu Pulau Pinang muncul juara berpasukan lelaki, Jumaat lalu.

"Saya mendapat rentak dan saya juga membuat pukulan yang cantik.

"Jadi, saya berasa selesa dalam permainan hari ini.

"Walaupun lawan saya bermain baik, tetapi persembahan hari ini melangkaui jangkaan saya sendiri," kata Jia Wei.