Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berharap agar aksi sederhana yang dipamerkan dalam Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia baru-baru ini tidak menggugat rentaknya menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain bakal menjadi taruhan negara untuk acara perseorangan lelaki serta berpasukan dalam temasya dwitahunan itu.

Justeru, Siri Antarabangsa Malaysia di Putrajaya menjadi antara pentas terbaik untuk menguji sejauh mana pemain berusia 19 tahun ini bersedia untuk menyahut cabaran berkenaan.

Bagaimanapun, kemaraanya terkandas dalam separuh akhir selepas kecundang menerusi straight set kepada Cheam June Wei.

Masih wujud kelemahan ketara yang perlu diatasi dan Zii Jia sedar ia perlu diperbaiki menjelang kejohanan GP Emas Terbuka New Zealand pada 1 Ogos nanti.

“Saya kalah dengan June Wei dalam semifinal disebabkan teknik dan cara permainan yang salah.

“Perbincangan telah dilakukan dengan jurulatih (Datuk Misbuk Sidek) dan dia akan membantu sebelum saya memulakan aksi di New Zealand,” ujarnya.

Selepas dua minggu Datuk Misbun Sidek memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan negara, kini Zii Jia dapat merasai bagaimana peritnya untuk berlatih bersama lagenda badminton negara itu, namun dia percaya ia sesuatu yang baik untuk kariernya sendiri.

“Macam-macam, fizikal dan mental memang penat tetapi kena bertahan kerana itu yang paling penting untuk dipelajari.

“Pemain dari luar banyak memandang rendah mentaliti pemain tempatan, jadi ini peluang terbaik untuk mendapatkan ilmu daripadanya (Misbun),” tambah Zii Jia.