Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mahu memastikan emas acara itu kekal milik Malaysia sekalipun tidak disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam Sukan SEA, Ogos nanti.

BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihannya (C&T) meletakkan sasaran dua emas, dua perak serta empat gangsa dalam temasya itu, bagaimanapun, sandaran emas dijangka hanya kepada beregu wanita dan beregu campuran.

Meskipun edisi 2015 menyaksikan emas perseorangan lelaki milik negara menerusi Chong Wei Feng, acara itu tidak diletakkan sasaran yang sama kali ini.

Selain Iskandar, bakal membawa cabaran negara dalam acara perseorangan nanti ialah Lee Zii Jia.

"Tekanan memang ada, kita tak dapat elak. BAM tidak sasar emas untuk perseorangan lelaki. Jadi, saya harap perkara ini dapat memberi kelebihan kepada kami untuk tidak mahu tertekan.

"Saya harap dan saya pun yakin kami dapat kekalkan emas kali ini," kata Iskandar.

Tumpuan utama Iskandar ketika ini adalah untuk mendapatkan semula suasana pertandingan dengan dia bakal menyertai Terbuka Taiwan, hujung bulan ini.

Dia antara yang tersenarai dalam skuad negara untuk saingan Piala Sudirman di Gold Coast bulan lalu tetapi tidak diturunkan, dengan Datuk Lee Chong Wei beraksi dalam kesemua perlawanan.

Lantaran itu, amat penting buat Iskandar untuk menemui rentak di atas gelanggang selepas kerjayanya dihimpit kecederaan awal tahun ini.

"Hujung bulan ini saya akan pergi ke Taiwan. Saya harap dapat merasai suasana kejohanan. Selepas itu,saya akan pergi ke Russia tetapi saya harap saya dapat berbincang dengan jurulatih, mungkin saya tidak pergi."