Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) terus mempergiatkan usaha menyedarkan atlet negara untuk cakna mengenai penyalahgunaan bahan terlarang, terutama barisan pemain badminton yang akan mengibarkan cabaran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Umum sedia maklum bahawa sebelum ini, sukan badminton dipalit kontroversi apabila pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, disahkan positif doping sekitar 2015.

Atas kesedaran itu, ADAMAS serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengumpulkan kesemua pemain badminton negara di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghadiri Seminar Anti Doping Real Champions yang bertujuan memberi kesedaran buat barisan pemain negara agar lebih berwaspada tentang bahan-bahan terlarang.

"Sejak Mac lagi, pihak ADAMAS dan MSN melaksanakan program anti-doping ini kepada setiap jenis sukan.

"Ada sesi yang kami gabungkan atlet yang berlatar belakang berbeza," kata Pegawai Bahagian Pendidikan Belia dan Sukan ADAMAS, Nor Suhaili Ithni.

Lebih-lebih menjelang Sukan SEA yang akan berlangsung nanti, Malaysia sudah melaungkan hasrat untuk bebas daripada sebarang skandal doping.

"Kami berkesempatan untuk meraih pengetahuan yang berguna mengenai bahan-bahan terlarang," ujar pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Turut senada dengan Iskandar, rakan sepelatihnya dalam kem badminton negara, Nur Izzudin Rumsani, yang berkata, "Kami disaran supaya mendapatkan nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu mengenai sumber rawatan dan pemakanan tambahan kami."