Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, bertekad memastikan permainan yang lebih stabil dan konsisten bagi mencerahkan peluang dia dan gandingannya, Soh Wooi Yik, membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aaron tidak menafikan kelebihan kini berpihak kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang kini mengisi ranking lebih baik, iaitu ke-10 dunia berbanding mereka di tangga ke-14.

Ia dianggap sebagai cabaran buat pasangan kedua terbaik negara itu agar menggandakan usaha dalam memastikan tempat ke Tokyo tahun depan tidak terlepas.

"Kelebihan mereka adalah tahap persembahan yang lebih stabil daripada kami.

"Prestasi kami masih turun naik sambil V Shem-Wee Kiong lebih mempunyai pengalaman," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pemain berusia 22 tahun itu menganggap cabaran memburu tiket ke Sukan Olimpik tidak meletakkan mereka dalam tekanan untuk menyumbang pingat dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Kami anggap ia sebagai motivasi buat kami, bukannya sebagai tekanan," tambahnya.