Gelaran beregu lelaki nombor satu Malaysia tidak penting buat pemain beregu profesional, Goh V Shem, ketika tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi rebutan lima gandingan Malaysia.

Kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan V Shem dan gandingannya, Tan Wee Kiong, melonjak ke tangga ke-14.

Ini bermakna mereka memintas pasangan meningkat naik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang gagal mempamerkan prestasi baik dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dan Singapura baru-baru ini

Status sebagai beregu lelaki utama negara bagi V Shem tidak membawa sebarang erti jika dia dan Wee Kiong gagal berada dalam pemburuan ke temasya Tokyo 2020.

Sesi kelayakan akan tamat pada 26 April 2020 pada ketika dua wakil negara sukar menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik yang menawarkan dua tiket Sukan Olimpik buat satu negara.

"Bagi saya, kedudukan ranking dunia tidak penting tetapi apa yang penting adalah ketika kelayakan Sukan Olimpik, kami buat yang terbaik.

"Ia bukan sesuatu yang mudah kerana untuk satu beregu sesebuah negara itu menempatkan dalam kelompok lapan terbaik juga sukar.

"Peluangnya ada jadi kami perlu memiliki keyakinan terhadap kemampuan sendiri," kata V Shem.

Selain V Shem-Wee Kiong serta Aaron-Wooi Yik, tiga lagi gandingan memburu tiket Sukan Olimpik adalah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dalam kem kebangsaan serta satu lagi pasangan profesional, Mohamad Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub.

"Kami akan bersaing bersama-sama.

"Walaupun Ee Yi-Yew Sin di kedudukan lebih rendah, mereka masih ada peluang dan bagi kami, ia perkembangan yang bagus apabila ada tiga wakil negara saling berebut tempat," katanya lagi.