Sukan Asia tumpuan Chong Wei seterusnya

Oleh Staff Writer 1 Jun 2018 641
Sukan Asia tumpuan Chong Wei seterusnya
Menjengah usia 36 tahun, apa sahaja kejohanan akan menjadi istimewa buat Datuk Lee Chong Wei tetapi kali ini fokusnya tertumpu kepada Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Perkongsian daripada Chong Wei ini cukup unik memandangkan dia turut menawarkan perspektif terhadap perancangan baki kerjayanya.

Buat masa ini, Chong Wei tidak melihat kudratnya mampu mendukung dia sehingga usia 40 tahun dalam gelanggang kompetitif. 

"Ini merupakan kempen Sukan Asia terakhir saya. Lagi empat tahun, saya mencecah umur 40 tahun. 

"Saya akan cuba memenangi Sukan Asia, sebelum itu saya akan menjalani persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia (awal bulan depan), saya perlu cuba. 

"Saya tidak dapat fokus kepada semua kejohanan utama, apatah lagi jadual tahun ini agak sibuk. 

"Selepas mengharungi Sukan Komanwel Gold Coast, kami beralih pula kepada kempen Piala Thomas (di Bangkok, Thailand)," katanya. 

Chong Wei menegaskan dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang untuk menamatkan penantian bergelar juara dunia begitu sahaja.

Ini sudah berupaya memadam ragu peminat sukan tanah air terhadap aksi yang bakal ditampilkan Chong Wei nanti.

"Dengan karakter saya ini, saya akan terus memberikan aksi terbaik. Kalau kalah juga, maka saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang itu. 

"Saya tidak akan ke sana (menyertai kejohanan) untuk sekadar buat yang "cincai-cincai", kemudian kalah. 

"Saya akan tetap fokus kerana pasti saya tidak berpeluang lagi pada empat tahun akan datang. 

"Mungkin saya berpeluang untuk satu lagi edisi Kejohanan Dunia, iaitu pada tahun hadapan sahaja," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen