Keputusan menyenaraikan Cheam June Wei bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei dalam Sukan Asia 2018 bukan satu perjudian daripada barisan kejurulatihan perseorangan lelaki negara, kata Datuk Misbun Sidek.

June Wei mengetepikan nama perseorangan berstatus juara kebangsaan seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lim Chi Wing, setelah Iskandar didapati tidak cergas dan Chi Wing difahamkan tidak konsisten apabila beraksi di pentas kompetitif.

Atas dasar itu, Misbun selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, berpendapat June Wei yang bebas daripada kecederaan dan memenangi Terbuka Belanda pada April lalu adalah pilihan yang mampu memberikan pulangan di Indonesia nanti.

"Saya lihat ini adalah masa yang tepat untuk barisan pemain muda menggalas amanah pasukan negara dalam Sukan Asia. Mereka harus faham ini adalah platform buat mereka mara ke pentas lebih besar.

"Saya mengambil June Wei kerana baru-baru ini, dia telah memenangi kejohanan di Belanda," kata Misbun.

"Saya gembira, namun dalam masa sama berasa terkejut. Pada awalnya, nama saya memang tiada. Setiap kejohanan adalah peluang buat saya," ujar June Wei sebagai reaksi pertamanya.

Dalam masa sama, Misbun turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan pemain muda untuk memikul tanggungjawab menghadirkan kejayaan di negara jiran itu.

"Ada sesetengah pemain yang tidak pernah beraksi dalam Terbuka Indonesia tetapi kami sudah mengenal pasti nama-nama untuk membawa cabaran negara dalam Sukan Asia kali ini.

"Saya percaya mereka dapat bermain dengan bagus, dalam masa sama merapatkan diri mereka dengan pemain-pemain terbaik dunia," tambah Misbun.