Jika hanya satu beregu campuran yang akan dibawa ke Sukan Asia 2018, maka gandingan itu adalah Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying meskipun ada dua pasangan lain yang berada di ranking lebih tinggi.

Peruntukan 10 pemain lelaki dan hanya empat wanita daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke Indonesia, Ogos ini, sudah memadai untuk memberi petanda akan ada pemilihan lebih ketat.

Kemungkinan besar BAM akan menyenaraikan satu beregu campuran, satu beregu wanita dan perseorangan wanita.

Dalam konteks beregu campuran, dua pasangan yang memiliki ranking lebih tinggi berbanding pasangan senior berkenaan adalah Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

"Persembahan sebelum ini dalam Sukan Komanwel dan Terbuka Australia, kita nampak Peng Soon dan Liu Ying lebih konsisten.

"Mereka masih mempunyai ketajaman, cuma kita masih perlu memberi tekanan untuk mengekalkan tahap mereka," kata ketua jurulatih beregu, Pang Cheh Chang.

Penanda aras buat pemilihan akhir ke Sukan Asia berupaya ditentukan menerusi saingan bertaraf perdana Terbuka Malaysia pada hujung bulan ini.

Difahamkan, ketiga-tiga beregu campuran yang disebut Cheh Chang itu melepasi kelayakan untuk tampil buat kontinjen negara.

"Selepas Kian Meng dan Pei Jing berlatih, mungkin mereka akan rasa belum biasa dalam pertandingan.

"Cuma kami sasarkan ke separuh akhir. Daripada tiga pasangan ini, sekurang-kurangnya ada satu pasukan ke separuh akhir," kata Cheh Chang.