Pemain badminton profesional negara, Liew Daren, menganggap penyenaraiannya ke Sukan Asia Indonesia menggantikan Datuk Lee Chong Wei sebagai satu penghormatan sambil menegaskan ia satu kesilapan buat mereka yang meragui kemampuannya menangani tekanan beraksi sebagai seorang senior.

Sepanjang berada di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga bergelar profesional pada 2016, dia sentiasa memiliki Chong Wei sebagai sandaran.

Kini, dia perlu memainkan peranan sebagai tonggak kepada Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven.

Daren berasakan keperluan untuk mengurus diri sendiri daripada pelbagai aspek sebagai pemain profesional adalah faktor mengapa dia lebih matang hari ini.

"Memang tekanan itu ada tetapi walaupun status saya sebagai profesional, tekanan itu datang daripada penaja dan semua pihak.

"Saya berharap dapat mengendalikan perkara ini dengan baik. Saya akan buat sehabis baik nanti," katanya.

Daren pada masa sama menegaskan dia memperoleh bantuan secukupnya daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi menangani kecederaan yang dialami dalam laluan ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China, minggu lalu.

Difahamkan, dia akan menyertai latihan pusat skuad negara pada Jumaat atau Sabtu ini.

"Saya berharap boleh pulih. Doktor cakap dalam satu minggu ini saya boleh pulih," katanya lagi.