Petaling BC menebus kegagalan ke final SS Purple League (SSPL) 2018-19 dengan menumpaskan Ampang Jaya BC 11-7 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga-keempat di Arena Of Stars, Resorts World Genting, petang tadi.

Kemenangan itu sedikit-sebanyak menjadi pengubat duka Petaling BC yang tewas 7-10 kepada Puchong United BC dalam aksi separuh akhir semalam.

Ketua jurulatih Petaling BC, Ismail Saman berkata: "Sebenarnya pasukan kami sejak awal lagi meletakkan sasaran untuk berada di tempat ketiga.

"Bagaimanapun, kami tetap mengharapkan untuk beraksi di peringkat final.

"Kami tidak memanfaatkan peluang yang tiba itu sebaik mungkin.

"Apapun, kami tetap gembira kerana Petaling BC memaparkan persembahan terbaik tahun ini.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan pemain.

"Namun, untuk musim akan datang, sedikit kelemahan dalam beregu lelaki dan beregu campuran harus diperbaiki," katanya.

Jan O’ Jorgensen cemerlang meletakkan Petaling BC di depan selepas meraih kemenangan 3-1 (11-6, 11-9, 6-11, 11-7) ke atas Brice Leverdez dalam acara perseorangan lelaki.

Ampang Jaya kemudian bangkit dalam acara perseorangan wanita menerusi Pornpawee Chochuwong yang mengatasi Yip Pui Yin 3-1 (11-9, 8-11, 11-9, 11-10).

Aksi semakin sengit dalam acara beregu lelaki, namun Man Wei Chong-Shia Chun Kang memberikan kelebihan buat Petaling BC menerusi kemenangan 3-2 (11-9, 10-11, 11-6, 7-11, 11-6) ke atas Chooi Kah Ming-Low Juan Shen.

Petaling BC mengukuhkan kedudukan selepas mengungguli acara beregu campuran menerusi gandingan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menewaskan Chau Hoi Wah-Lukhi Apri Nugroho 3-1 (10-11, 11-4, 11-7, 11-9).

Cheam June Wei, yang turun dalam acara perseorangan lelaki kedua, tidak menghampakan Petaling BC.

Kemenangan 1-0 (11-8) yang diraihnya ke atas Tan Jia Wei sudah cukup membawa pasukan itu meraih kedudukan ketiga SSPL musim ini.

Dalam pada itu, pendatang baru SSPL, Tebrau City BC, boleh berbangga dengan kedudukan kelima yang diraih mereka selepas menewaskan Serdang BC 9-2 dalam penentuan tempat kelima-keenam tengah hari tadi.

Mengulas mengenai pencapaian Tebrau City musim ini, pengurusnya, Lim Kenn, nyata berpuas hati selepas menjadikan penyertaan sulung mereka dalam SSPL itu sebagai medan meraih pengalaman.

Lim Kenn berkata: "Kami tidak menyangka dapat memperoleh kemenangan mudah memandangkan kami tewas kepada Serdang BC dalam aksi peringkat pertama dulu.

"Saya berasakan kemenangan Adulrach Namkul ke atas Leong Jun Hao dalam acara perseorangan lelaki menjadi titik tolak kepada kejayaan hari ini.

"Ia adalah musim pertama kami dan banyak pelajaran yang diperoleh.

"Kami sudah tahu apa yang boleh dilakukan pasukan ini musim depan.

"Mungkin kami akan memberikan pendedahan kepada pemain tempatan dan juga pemain muda pula.

"Bukan senang untuk pemain muda memperoleh peluang bermain dalam kejohanan berpasukan seperti ini.

"Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan pasukan untuk menentukan hala tuju pasukan ini musim depan," katanya.