Kelab Badminton (BC) Kepong mengesahkan tempat mereka dalam pusingan akhir SS Purple League (SSPL) selepas menumpaskan Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 9-8 dalam perlawanan peringkat kedua Kumpulan B di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kepong BC ketika ini berada di tangga ketiga dengan 94 set kemenangan dan sudah sah berada dalam kelompok enam pasukan teratas SSPL meskipun masih ada satu lagi aksi malam nanti di antara Petaling BC dan Serdang BC.

Jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif, berkata: “Di peringkat kedua SSPL, kami nampak lemah dalam perlawanan pertama kerana ada pemain yang ke Masters Thailand. Namun, hari ini menyaksikan separuh daripada pemain dapat bersama semula, cuma Soong Joo Ven yang kurang sihat dan tak dapat diturunkan tadi.

“Dalam pusingan akhir SSPL, saya harapkan tuah sebagai finalis musim lalu akan berterusan. Daripada segi perpindahan pemain, saya sudah berikan pendapat kepada pengurusan Kepong BC untuk memperbaiki perseorangan wanita dan juga beregu campuran.

"Dalam perancangan setakat ini, mungkin ada pemain dari Indonesia atau Eropah akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan dalam pusingan akhir.”

Dalam pertemuan tadi, Kepong BC mendahului aksi apabila memenangi acara perseorangan lelaki menerusi pemainnya, Lim Chi Wing, yang mengatasi Abdul Kadir Zailani 3-2 (9-11, 11-10, 11-4, 5-11, 7-5).

Acara perseorangan wanita menyaksikan Kepong BC menjarakkan kedudukan apabila Qin Jin Jing menang ke atas pemain BMASBC, Kong Yi Jin, 3-0 (11-5, 11-5, 11-8).

Saingan beregu lelaki menyaksikan Kepong BC terus mendominasi saingan menerusi Muhd Nuraidil Adha-Tee Kai Wun yang mengatasi Sim Fong Hau-V. Roobenraj 3-0 (11-9, 11-7, 11-10), menjadikan Kepong BC selesa 9-2 di depan.

Bagaimanapun, Kepong BC tumpas dalam acara beregu campuran selepas gandingan Anna Cheong-Yan Runze tewas kepada pasangan BMASBC, Tiara Rosalia-Agrippina Primarahmanto 0-3 (7-11, 8-11, 6-11).

BMASBC juga diberikan kemenangan percuma 3-0 dalam satu lagi acara perseorangan lelaki selepas pemain Kepong BC, Joo Ven, tidak dapat turun beraksi, namun sudah terlambat untuk mereka bangkit.
Kekalahan itu menyaksikan BMASBC gagal ke pusingan akhir SSPL.