Kelab Badminton (BC) Kepong menepati ramalan apabila melepasi peringkat suku akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 apabila menewaskan Serdang BC 10-4 di Arena Of Stars, Resorts World Genting, sebentar tadi.

Apapun, Kepong BC menerusi Soong Joo Ven bermula agak perlahan selepas tewas dalam aksi perseorangan lelaki. Joo Ven gagal menangkis asakan pemain muda, Leong Jun Hao, sekali gus tewas 2-3 (11-5, 5-11, 10-11, 11-6, 10-11).

Dalam acara perseorangan wanita selepas itu, Kepong BC mula menunjukkan taring. Pemainnya, Qin Jin Jing dari China mudah menumbangkan pemain Serdang BC, Wei Yawen, 3-0 (11-5, 11-9, 11-7) untuk kembali mendahului keseluruhan 5-3.

Beregu lelaki Kepong BC, Mohd Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub, mengukuhkan lagi kedudukan pasukan apabila mudah mengatasi pasangan Serdang BC, Lwi Sheng Hao-Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin, 3-0 (11-9, 11-8, 11-5). Kemenangan itu membolehkan Kepong BC di depan 8-3 secara keseluruhan set.

Kemaraan Kepong BC dinoktahkan oleh pasangan beregu campuran mereka, Petersen Mads Conrad- Wu Qian Qian yang menumbangkan pasangan Serdang BC, Liu Lin- Yap Qar Siong, 2-1 (11-10, 8-11 11-7). Kemenangan dua set itu sudah cukup untuk membuat lawan tidak terdaya untuk mengejar kedudukan, sekali gus membawa Kepong BC ke separuh akhir.

Ketua jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif, berkata, “Saya dapat rasakan pada mulanya kami agak tertekan, mungkin Joo Ven juga terlalu mahukan kemenangan sehingga memerangkap dirinya sendiri. Namun, kawan-kawan lain dapat menang 3-0 dan itulah yang memberi kelebihan semula kepada kami tadi.”

“Kami akan bertemu Ampang Jaya BC dalam separuh akhir, lawan yang sukar dan mereka juga belum tewas kali ini. Apapun, kami tetap akan bersatu untuk melakukan terbaik untuk melakar kejutan,” kata Zakry.

Untuk rekod, Kepong BC merupakan naib juara SSPL musim lalu. Mereka tewas 8-10 kepada Puchong United BC dalam aksi sengit di pentas final.

Satu lagi aksi suku akhir SSPL akan berlangsung malam ini di antara Tebrau City BC dan Petaling BC. Menanti pemenang perlawanan tersebut adalah juara bertahan, Puchong United BC, yang mendapat laluan percuma ke separuh akhir setelah muncul naib juara pusingan awal SSPL.