Kekecewaan Kelab Badminton (KB) Petaling untuk meraih kedudukan terbaik dalam SS Purple League (SSPL) sedikit-sebanyak terubat selepas mereka menewaskan KB Ampang Jaya dalam penentuan tempat ke-5/6 di Arena Of Stars, Resorts World Genting, malam ini.

Kemenangan 10-4 itu membolehkan mereka menduduki tempat kelima SSPL musim ini manakala KB Ampang Jaya pula di tempat keenam.

Dalam perseorangan lelaki pertama, KB Petaling meraih kemenangan melalui pemainnya, Liew Daren, yang menewaskan pemain KB Ampang Jaya, Ajay Jayaram, 11-4, 11-9, 4-11, 11-8 (3-1).

Apapun, KB Ampang Jaya bangkit dalam perseorangan wanita apabila pemainnya, Xu Wei, menumpaskan pemain KB Petaling, Yap Rui Chen, 11-4, 11-9, 5-11, 11-8 (3-1).

Gandingan Goh V Shem-Man Wei Chong kembali meletakkan KB Petaling di hadapan setelah menang 11-6, 11-8,11-8 (3-0) mengatasi Lukhi Nugroho-Muhd Syawal dalam beregu lelaki.

KB Petaling terus menguasai permainan dengan kemenangan direkodkan dalam beregu campuran melalui pasangan Devi Tika Permatasari-Riky Widianto yang menang 11-8, 11-7, 11-10 (3-0) mengatasi Anna Cheong-Tap Yip Jiun, sekaligus menjarakkan pungutan mata menjadi enam mata.

Kemenangan pasangan beregu campuran itu sudah cukup untuk memastikan pasukan KB Petaling mengesahkan kedudukan mereka di tempat kelima.

Ketua jurulatih KB Petaling, Yap Kim Hock, berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan pasukannya yang meraih tempat kelima sama seperti musim lalu.

“Saya gembira dengan kemenangan ini dengan menghabiskan Purple League di tempat kelima. Kami kehilangan khidmat Datuk Wira Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain dalam pusingan kalah mati.

“Namun, beberapa pemain junior seperti Chen Tang Jie dan Man Wei Chong semakin menyerlah dan sudah tentu mereka adalah aset penting kepada pasukan untuk musim hadapan dalam Purple League."

Dalam penentuan tempat ke-7/8 yang berlangsung pada sebelah petang pula, tempat ketujuh menjadi milik KB Kepong setelah mereka diberikan kemenangan kerana KB Serdang menurunkan pemain yang tidak menepati ranking mengikut peraturan SSPL.