Selepas Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya dan Puchong United BC menempah tiket ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19, empat lagi pasukan mengesahkan slot menerusi aksi peringkat kedua yang berakhir di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Empat pasukan itu adalah Petaling BC, Kepong BC, Tebrau City BC dan Serdang BC.

Dua lagi pasukan yang gagal meneruskan kemaraan setelah menamatkan saingan di kedudukan terbawah liga adalah Bukit Mertajam All Stars BC dan Bandar Maharani BC.

Dalam aksi malam ini, Petaling BC yang turun dalam perlawanan terakhir Kumpulan A melengkapkan peringkat kedua dengan kemenangan 13-7 ke atas Serdang BC.

Mereka menang di awal aksi melalui pemain perseorangan lelaki, Chong Yee Han, yang mengetepikan pemain muda Serdang BC, Muhd Shaqeem Eiman, 3-2 (11-4, 3-11, 11-9, 7-11, 8-6).

Lim Yin Fun yang turun mewakili Petaling BC gagal menjarakkan kedudukan dalam acara perseorangan wanita setelah sekadar seri 2-2 (11-5, 8-11, 8-11, 5-4) dalam tempoh 30 minit menentang Lyanny Alessandra Mainaky.

Gandingan Man Wei Chong-Shia Chun Kang memantapkan lagi kedudukan Petaling BC kepada 8-4 setelah mereka menumpaskan gandingan Serdang BC, Lwi Sheng Hao-Ong Wei Khoon 3-0 (11-5, 11-8, 11-7).

Namun, Petaling BC tewas dalam acara beregu campuran apabila gandingan Cheam June Wei-Gronya Somerville tewas 2-3 (5-11, 11-10, 5-11, 11-10, 7-11) kepada Liu Lin-Yap Qar Siong tetapi pasukan mereka masih mendahului kedudukan 10-7.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin selaku perseorangan utama lelaki Petaling BC menyempurnakan kemenangan apabila menewaskan Ng Tze Yong 3-0 (11-4, 11-8, 11-9).

Ketua jurulatih Petaling BC, Ismail Saman, berkata: "Daripada peringkat pertama sehingga kedua, pemain mempamerkan momentum yang baik dan sentiasa bersemangat dalam memburu kemenangan.

"Saya dalam perancangan untuk memperkuatkan lagi pasukan menjelang pusingan akhir SSPL memandangkan jendela perpindahan kini dibuka semula. Kami sedang mengenal pasti pemain mana akan kekal atau ditukar dengan pemain baru."